SINDROM METABOLIK

Paras glukosa darah tinggi, tekanan darah tinggi, tahap lipid darah tinggi dan berlebihan berat badan atau obesiti merupakan empat keadaan yang lazim dialami oleh kebanyakan orang di seluruh dunia pada masa ini. Tetapi tahukah anda bahawa keempat-empat keadaan tersebut berkait rapat antara satu sama lain? Diharap jawapan kepada soalan-soalan berikut dapat membantu anda untuk lebih memahami bagaimana keadaan-keadaan tersebut berkait antara satu sama lain.

S1: Paras kolesterol darah saya tinggi apabila saya berusia 38 tahun. Apabila saya berusia 44 tahun, tekanan darah saya pula naik tinggi. Baru-baru ini, selepas saya menyambut hari jadi yang ke-50, doktor memberitahu bahawa saya ada menghidap diabetes jenis 2. Saya pernah mendengar bahawa ketiga-tiga keadaan ini berkait rapat. Harap dapat jelaskan bagaimana ianya berkait rapat? Santhi P, Klang

J: Ya, ketiga-tiga keadaan yang ada pada anda adalah ciri-ciri sekumpulan penyakit yang dinamakan sindrom metabolik. Sindrom metabolik dicirikan oleh beberapa faktor-faktor risiko metabolik. Faktor-faktor risiko ini termasuklah 'rintangan terhadap insulin' (apabila sel-sel badan tidak dapat menggunakan insulin dengan berkesan), obesiti atau berlebihan berat badan (terutama sekali di bahagian abdomen), tahap lipid darah yang tak-normal (dislipidemia), tekanan darah tinggi (hipertensi), tahap glukosa darah yang tinggi (hiperglisemia) dan peningkatan tahap insulin dalam darah (hiperinsulinemia). Ciri-ciri sindrom metabolik ini akan meningkatkan risiko terhadap penyakit-penyakit kardiovaskular yang dikaitkan dengan pengumpulan plak pada dinding-dinding saluran darah (atherosklerosis) yang boleh mengakibatkan serangan jantung, strok (angin ahmar), penyakit vaskular periferi dan juga diabetes jenis 2.

Kebanyakan pakar berpendapat bahawa jika anda mempunyai salah satu daripada keadaan tersebut, anda berkemungkinan besar akan mempunyai keadaan-keadaan yang lain juga. Oleh sebab itulah, ciri-ciri lain sindrom metabolik ini mungkin sudah sedia wujud pada diri anda sehingga 10-20 tahun sebelum anda didiagnos menghidap diabetes.

Jadi, jika anda telah berlebihan berat badan atau gemuk atau mempunyai tahap lipid darah yang tinggi atau tekanan darah tinggi, anda perlu mendapatkan rawatan untuknya dan/atau menukar gaya hidup anda secepat mungkin. Jika tidak, anda mungkin akan mendapat diabetes dan menambahkan risiko untuk mendapat penyakit serangan jantung dan strok. Ini juga bermakna bahawa jika anda telah didapati menghidap diabetes jenis 2, janganlah anda memfokus kepada mengawal glokosa darah sahaja, malah anda juga perlu memberi perhatian untuk mengurangkan faktor-faktor risiko penyakit kardiovaskular yang lain seperti kegemukan di perut, tekanan darah tinggi dan tahap lemak darah yang tinggi.

S: Saya menghidap diabetes Jenis 2 semasa berusia dalam empat puluhan. Doktor telah menasihatkan saya untuk mengawal jumlah lemak yang saya makan kerana saya mudah untuk mendapat tinggi kolesterol darah tinggi yang akan meningkatkan risiko saya untuk mendapat penyakit-penyakit kardiovaskular. Adakah ini benar? Wong P.K., Kuala Lumpur

J: Ya, itu memang benar. Diabetes akan membuka jalan untuk meningkatkan risiko kepada penyakit-penyakit kardiovaskular. Ini adalah kerana apabila anda menghidap diabetes jenis 2, anda berkemungkinan besar akan mendapat suatu keadaan yang dipanggil 'rintangan terhadap insulin'. 'Rintangan terhadap insulin' berlaku apabila badan tidak dapat menggunakan insulin (sejenis hormon yang dikeluarkan oleh pankreas yang bertanggung jawab dalam pengambilan glukosa oleh sel-sel badan) dengan berkesan.

Keadaan metabolik yang tidak normal ini (rintangan terhadap insulin), dikaitkan dengan tahap lipid darah yang tak-normal (dislipidemia) seperti kenaikan tahap trigliserida darah (satu daripada komponen lemak badan yang dapat ditukarkan kepada LDL atau kolesterol 'jahat') dan penurunan tahap lipoprotein berketumpatan tinggi (HDL atau kolesterol 'baik' yang mengeluarkan kolesterol daripada arteri). Tahap lemak darah yang tidak normal akan mempercepatkan perkembangan atherosklerosis (di mana kolesterol LDL dan komponen lemak-lemak lain mendap dan menimbun dalam dinding saluran darah menyebabkan arteri menjadi sempit dan menghadkan bekalan darah). Atherosklerosis memang merbahaya oleh kerana ia akan menyekat pengaliran darah anda dan ini akan menambahkan lagi risiko kepada serangan jantung dan strok.

Oleh yang demikian, adalah penting untuk anda mengekalkan tahap lemak darah yang sihat sepanjang masa. Untuk membantu anda mencapai tahap lipid yang sihat serta seimbang, anda perlu menghadkan jumlah pengambilan lemak dengan mengelakkan makanan-makanan seperti pastri dan biskut-biskut yang mengandungi lemak terselindung dan makanan-makanan yang bergoreng. Juga beri perhatian terhadap lemak tepu (sejenis lemak yang menaikkan tahap kolesterol LDL anda) yang biasanya terdapat dalam makanan bersumberkan haiwan seperti produk tenusu termasuk susu penuh krim, mentega dan keju penuh lemak serta ghee, lemak khinzir dan kulit daging yang telah dimasak. Makanan-makanan yang dimasak menggunakan santan juga harus dijauhi kerana mengandungi kandungan lemak tepu yang tinggi.

Pilihlah minyak-minyak tidak tepu mono (monounsaturated) seperti minyak kanola atau minyak zaitun dan/atau minyak-minyak tidak tepu poli (polyunsaturated) seperti minyak jagung, minyak bunga matahari atau minyak kacang soya) kerana mereka dapat untuk membantu untuk mengurangkan kolesterol LDL (kolesterol 'jahat'). Makanan yang mempunyai kandungan kolesterol tinggi yang di dapati dalam produk haiwan seperti kuning telur dan organ dalaman (hati, otak, buah pinggang dan usus) harus juga dijauhi kerana ia dapat menaikkan lagi tahap kolesterol LDL.

Disamping mengawal tahap lipid darah, anda masih perlu mengekalkan tahap glukosa darah yang normal pada setiap masa. Ini boleh dicapai dengan mengamalkan tabiat pemakanan yang sihat dan mengawal pengambilan karbohidrat anda. Anda juga perlu menaikkan tahap aktiviti fizikal termasuk kerap bersenam dan mengurangkan berat badan yang berlebihan (jika anda terlebih berat badan). Jangan lupa mengambil ubat-ubat yang telah diberikan oleh doktor anda. Sebaiknya, anda juga patut memantau tahap glukosa darah secara kerap di rumah.

S3: Saya menghidap diabetes jenis 2, mempunyai tahap kolesteroI darah yang tinggi dan juga tekanan darah tinggi. Adakah dengan mengawal diabetes, tahap tekanan darah dan kolesterol darah saya juga akan turun? Affandi M, Petaling Jaya

J: Diabetes merupakan salah satu daripada faktor-faktor utama yang boleh mengubah metabolisme badan anda dan menyebabkan terjadinya tekanan darah tinggi dan tahap kolesterol darah tinggi. Oleh sebab itulah, apabila anda mengawal diabetes dengan baik, tekanan darah serta tahap kolesterol darah anda mungkin juga akan menurun. Cara yang paling berkesan untuk mengawal diabetes, tekanan darah tinggi dan tahap kolesterol darah yang tinggi pada sekali gus ialah dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Amalan yang disyorkan ialah untuk makan makanan yang sihat serta seimbang, meningkatkan tahap aktiviti fizikal harian anda dan mengekalkan berat badan yang unggul. Adalah amat penting untuk anda memantau diet, berat badan serta tahap glukosa darah anda sendiri di rumah. Anda juga perlu kerap berjumpa dengan doktor anda untuk pemeriksaan kesihatan. Doktor anda boleh menasihatkan samada anda memerlukan ubat-ubat tertentu jika tiada kemajuan pada tahap glukosa darah, tekanan darah atau kolesterol darah anda walaupun anda telah mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Anda akan dapat melihat dengan sendiri bahawa dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat serta mengambil ubat yang diberikan oleh doktor, kawalan glukosa darah dan tekanan darah akan menjadi lebih baik. Jika anda memeriksa profil lipid darah, tahap kolesterol HDL (kolesterol 'baik') mungkin akan meningkat manakala tahap kolesterol LDL (kolesterol 'jahat') dan trigliserida darah menjadi lebih rendah.

Ingat bahawa anda perlu mengekalkan tahap glukosa darah (antara 3.8 - 6.1 mmol/L ketika berpuasa dan tidak lebih dari 7.8 mmol/L selepas makan), tekanan darah (di bawah 130/80 mmHg) dan kolesterol darah (kolesterol HDL lebih dari 1.02 mmol/L, kolesterol LDL kurang daripada 2.6 mmol/L dan trigliserida darah yang kurang daripada 1.7 mmol/L) dalam lingkungan yang disyorkan pada setiap masa, agar dapat mengurangkan risiko anda terkena serangan jantung dan strok. Sumber

No comments:

INSULIN > GLUKOS > RECEPTOR > SEL

Photobucket